BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 13, 2011

SIFAT MARAH CERMIN JIWA TIDAK TENTERAM


Sifat marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan

keimanan seseorang. Orang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat
genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya.
Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran
lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan
kemarahan kerana Allah.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan
tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika
marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Marah boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga
hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan
kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.
Sedangkan kita tahu Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah.
Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan
kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah
dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah.
Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak
tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa
tenteram, aman dan damai sepanjang masa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat bodoh atau jahil itu
pokoknya ialah watak kedegilan yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa
juga yang dirinya reda dalam keadaan jahil atau bodoh, maka baginya
tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani toleransi adalah sifat yang
baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat buruk dan mendatangkan
banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri daripada melayani
pertanyaan orang bodoh.”
Khaitamah bin Abdul Rahman, seorang ulama tab’in menerangkan bahawa
syaitan berkata, “Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila
dia rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia
marah, nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya.”
Mujahid menceritakan bahawa iblis atau syaitan itu berkata, “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara:
Apabila seseorang itu mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami
halau ke mana yang kami kehendaki. Dia bekerja untuk kami menurut apa
yang kami sukai.Apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang disesalinya.Dia seorang yang lokek terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak mampu
Sementara itu, Abdullah bin Mas’ud berkata, “Perhatikan sifat
lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya
ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat
lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya
apabila dia tidak rakus.”
Diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya,
“Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda
marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah
tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya
(kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali
sebat.”
Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang
beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada
kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”
Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan
kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, “Meninggalkan
marah.”
Wahab bin Muhaib berkata, “Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”
Kesimpulannya, dalam apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat
Islam mestilah dapat mengawal sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.

0 comments: